Sunday, 3 July 2011

SEJARAH SEKOLAH SK BAWANG ASSAN, SIBU.

            Sekolah Kebangsaan Bawang Assan telah ditubuhkan pada awal tahun 1946. Para penduduk Kampung Bawang Assan yang majoritinya berketurunan Iban telah mendirikan sebuah pondok beratapkan daun nipah dan bertiangkan kayu untuk dijadikan sekolah. Manakala lantainya pula dibuat daripada papan dan dindingnya pula daripada kulit kayu. 
            Pembinaan pondok ini diusahakan secara gotong-royong yang melibatkan semua penduduk Kampung Bawang Assan. Pada masa tersebut, tiada sebarang bantuan daripada kerajaan tempatan diterima. Seorang guru telah dilantik dan gajinya dibayar hasil daripada kutipan penduduk setempat. Pengajaran bermula dengan 30 orang murid yang ditempatkan di dalam sebuah kelas shaja. Selama lebih kurang tiga tahun, gaji guru di sekolah ini dibayar dengan   wang kutipan penduduk Bawang Assan. Selepas itu, sekolah ini telah diambil alih oleh Kerajaan tempatan (Local Authority). Enrolmen sekolah ini bertambah setiap tahun dan kemudian Kerajaan Tempatan mengambil langkah untuk membina bangunan kelas yang baru. Pada mulanya, blok bangunan sekolah ini berpindah daripada asalnya ke satu tempat yang kekal sehinggalah hari ini.
            Pada tahun 1965, satu blok bangunan telah dibina yang menempatkan Bilik Guru, Pejabat Guru Besar, Pusat Sumber dan Kelas Pra Sekolah. Pada tahun itu juga, satu unit kelas IV Kuarters telah dibina untuk Guru Besar. Pada tahun 1993, satu blok 2 unit kelas IV dibina dibawah gotong-royong Projek Jabatan Pendidikan Bahagian Sibu dan satu blok yang sama besar 2 unit juga adalah di dalam perancangan dan telah dibina pada tahun 1995.
           Pada tahun 1998, Dewan makan murid telah dibina bagi menampung bilangan murid yang makan di asrama. Makmal komputer telah siap dibina pada 2007 dan bangunan tambahan bagi kelas telah siap dibina pada 2008.
          Kini enrolmen sekolah ini adalah seramai 212 orang murid, 8 buah kelas, 18 orang guru termasuk Guru Besar, 9 orang pekerja am,  4 orang Pembantu Pengurusan Murid, seorang Pembantu Tadbir, seorang penyelia Asrama manakala penghuni asrama adalah seramai 80 orang murid sahaja.
            

1 comment:

  1. Syukur ada juga orang yang buat blog utk sekolah Bawang Assan.. tau juga la sejarah sekolah sikit2

    ReplyDelete